SELAMAT DATANG KE DATABASE USAHAWAN PERAK TENGAH!

TAKUT DAN MOTIVASI DALAM PERNIAGAAN


Sources : Majalahniaga.com




KETAKUTAN DAN GAMBARAN MINDA YANG NEGATIF

Ketakutan-ketakutan adalah bayangan mental yang kita sendiri cipta sebelum perkara tersebut benar-benar terjadi. Adakah perkara tersebut benar-benar akan terjadi? Mungkin ya, mungkin juga tidak.
Salah satu punca mengapa ketakutan bersarang dalam kepala kita adalah kerana cara masyarakat di sekeliling kita berfikir. Ia akan membentuk persepsi kita tentang sesuatu perkara dan isu. Sebenarnya perasaan takut yang wujud hanyalah sebuah gambaran minda yang negatif yang dicipta oleh orang lain atau perkara sekeliling.
Takut 1
Sebagai contoh, mungkin anda berasa seronok melihat seorang saudara yang sudah berjaya dalam bisnes mempunyai kehidupan yang amat mewah. Setahun sekali semasa hari raya, beliau berkunjung ke rumah anda dengan memandu sebuah kereta mewah. Jadi, anda pun menanam impian untuk mengikuti jejak langkah beliau sebagai usahawan berjaya suatu hari nanti.
Tetapi saat anda menyuarakan impian anda, ibu bapa mengatakan ia adalah kerjaya yang berisiko. Ibu bapa anda pula meminta ibu dan bapa saudara untuk menasihati anda.
Maka dengan ‘niat suci’, mereka bercerita perihal rakan yang ingin menceburi bidang keusahawanan akhirnya muflis dan tak cukup makan. Pada akhirnya, pilihan yang ideal adalah bekerja makan gaji sebagai kakitangan kerajaan.
Tidak ramai yang berhadapan situasi di ‘brainwash’ oleh keluarga sanggup bertahan dengan pilihan mereka. Satu demi satu kisah-kisah tragis dihidangkan membuatkan kita lebih rela untuk menjadi ‘biasa-biasa’ berbanding mengejar impian
 


TRANSFORMASI PERASAAN NEGATIF
 

Sebenarnya dalam hidup ini banyak perkara akan terjadi mengikut apa yang kita fikir tentangnya. Pada awalnya, perkara tersebut mungkin bukan seperti tersebut, tetapi oleh sebab reaksi kita yang negatif, hasilnya juga adalah negatif.
Semasa kecil, saya selalu melintas di sebuah rumah yang membela anjing untuk sampai ke rumah seorang sahabat. Apabila anjing tersebut menyalak, saya berasa cemas menyebabkan saya mengayuh basikal saya lebih laju. Tindak balas anjing kepada saya adalah mengejar saya lebih laju dan anjing-anjing tersebut seolah-olah berasa puas dapat menakut-nakutkan saya.


Berani
Seseorang mengajar saya bahawa apabila anjing menyalak, elak daripada melarikan diri. Saya cuba amalkan nasihat beliau dengan memberhentikan basikal, menunjukkan postur badan yang penuh keyakinan dan merenung kembali dengan tajam kepada anjing tersebut.
Kesannya, setelah beberapa ketika menyalak kepada saya anjing tersebut terdiam. Kalau dulu saya perlu berbasikal, tetapi semenjak waktu itu saya boleh berjalan kaki apabila melintasi rumah tersebut.
Tercoret sebuah kata-kata hikmat,
“Ketakutan telah membunuh impian lebih hebat daripada kegagalan.”

No comments:

Post a Comment